JellyPages.com

Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hijrah 1434


Assalamualaikum... Salam Maal hijrah 1434.. Alhamdulillah, setapak lagi kita melangkah bukan sahaja ke hari yang baru, bahkan ke tahun yang baru. Semoga tahun baru hijrah 1434 ini memberi makna yang besar bagi hidup kita hari ini dan seterusnya.

Dengan berlabuhnya tirai tahun 1433 H, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita semula, apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang telah berlalu. Adakah kita gunakan kesempatan masa yang Allah kurniakan kepada kita dengan sebaiknya ataupun kita sia-siakan begitu sahaja dengan melakukan maksiat dan perkara lagha? Allahu rabbi.

Marilah kita berfikir sejenak, perlunya transformasi dalam diri kita seiring arus peredaran zaman ini. Perbaiki segala kekurangan yang ada, perelokkan lompang-lompang yang berlaku dalam diri kita, tahsin mana yang patut dan paling penting tajdid niat dan azam agar tahun baru hijrah ini dapat menjadikan kita seorang yang sentiasa tinggi takwa dan kepatuhannya pada Allah swt.

Mengenang kembali peristiwa yang terpahat dalam lipatan sejarah islam, 1 Muharram adalah mengingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari kota Mekah ke Kota Madinah. Tujuan penghijrahan Rasulullah dan para sahabat adalah untuk menyelamatkan aqidah, memperluaskan medan dakwah dan untuk membangunkan pemerintahan berteraskan Tauhid kepada Allah.

Justeru itu, kita sebagai umat akhir zaman perlu mengintai kembali pengajaran di sebalik peristiwa hijrah yang mempunyai pengaruh besar terhadap Islam tersebut. Sungguhpun kita tidak melakukan hijrah seperti Rasulullah, kita perlu melakukan hijrah hati dan rohani dengan berhijrah dari cinta kepada selain Allah kepada cinta pada Allah sepenuhnya, bertakwa kepada Allah serta mengharap sepenuhnya pada Allah dalam setiaap perkara. Selain itu, berhijrah dari perkara kemaksiatan, keburukan dan perkara sia-sia juga hijrah yang dituntut pada masa kini.

Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang  beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah, dan (ingatlah) Allah maha pengampun dan maha mengasihani". (al-Baqarah: 218)





Sama-sama hayati pengertian hijrah. Wallahua'lam.



No comments:

Post a Comment