JellyPages.com

Wednesday, June 10, 2015

SEKITAR PENGALAMAN BERSAMA PALAPES UDARA UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN



Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.

Sedikit coretan sebagai mengimbau secebis kenangan sepanjang berada dalam pasukan PALAPES Udara UniSZA. Setelah berhempas pulas melayani kerenah latihan ketenteraan yang meletihkan selama tiga tahun, alhamdulillah akhirnya tamat sudah latihan sebagai pegawai kadet dan berjaya ditauliahkan. Pelbagai cabaran, rintangan, halangan dan cemuhan diperoleh sepanjang menjalani latihan. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana telah memberi kekuatan fizikal dan mental kepada saya dan 33 orang skuad yang lain mengharungi segala rintangan selama ini.

Menyorot kepada permulaan tertubuhnya Markas PALAPES Udara UniSZA, selaku batch pertama memang diakui ia bukan suatu yang mudah. Dengan semangat dan motivasi yang tinggi dari pihak markas, yang mana pada mulanya terdiri dari seorang ajutan dan dua orang jurulatih, segala pengurusan markas diuruskan oleh mereka dengan baik. Setinggi penghargaan kepada Ajutan Pertama Markas PALAPES Udara UniSZA, Leftenan Muda Juliana binti Moloi TUDM (Kini Leftenan TUDM), dan dua orang jurulatih yang terbaik dan sangat berdedikasi terhadap tugas mereka iaitu SJN U Mohd Shahril bin Mohd Salleh dan KPL U Mohd Azli bin Abdullah (kini SJN U). Tanpa mereka, pasti PALAPES Udara UniSZA tidak akan mencapai tahap seperti sekarang. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati usaha mereka.

Pada mulanya Markas PALAPES Udara UniSZA diletakkan di bangunan Blok D berhampiran makmal fisioterapi. Segala keperluan dan aktiviti pengurusan dijalankan dengan baik di sana. Sehingga kini Markas telah dipindahkan ke bangunan baru yang lebih kondusif di bangunan baru bersebelahan dengan makmal dietetik. Pelbagai ilmu pengurusan telah diajar dan dipraktikkan di Markas Palapes ini.

Mengimbau kenangan semasa berada di peringkat junior, terlalu banyak perasaan yang sukar digambarkan. Bermula majlis angkat sumpah bagi pengambilan pertama pada 6 OKT 2011, seramai 44 orang telah berjaya melepasi segala ujian dan temuduga yang dijalankan. Maka latihan demi latihan dijalankan. Latihan Physical Training (PT), latihan kawad kaki, Kelas IMP, sukan dan sebagainya dilatihkan kepada kami mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan. Tidak dapat dinafikan, selaku batch pertama, latihan yang dikendalikan oleh jurulatih memang suatu yang sangat mencabar dan kadangkala tidak mampu dilaksanakan oleh fizikal. Tapi tiada yang mustahil untuk dilakukan. Sungguhpun fizikal terlalu lemah, kekuatan mental sebenarnya lebih penting. Teringat semasa di peringkat junior. Boleh dikatakan setiap kali latihan pasti akan terdengar keluhan pada diri saya dan skuad yang lain untuk menarik diri atau 'keluar baris' dek kerana 'teruknya' latihan yang dijalankan ke atas kami. Menangis saat latihan, rasa 'fade up' semua tu memang diakui berlaku. Mungkin ketika itu kami mengalami sedikit kejutan budaya apabila selama ini berada dalam keselesaan sebagai orang awam, tiba-tiba masuk ke dunia ketenteraan yang mana umum mengetahui latihan ketenteraan ini suatu yang agak 'tough' dan ganas. Tetapi keluhan hanya tinggal keluhan sahaja. Semangat dan sokongan yang kuat dari pihak jurulatih sangat tinggi disamping semangat dari rakan sepasukan, terpaksa gagahkan diri untuk meneruskan perjuangan. Latihan demi latihan dijalankan, daripada kosong, tak tahu apa-apa mengenai dunia ketenteraan sehingga boleh memahami serba sedikit ilmu mengenainya, akhirnya skuad kami hanya berbaki 34 orang sahaja. Jatuh bangun kami, gembira, menangis, marah, rasa 'fade up' dan sebagainya sebagai batch pertama menang bukan suatu yang mudah untuk dilalui. Tetapi bila dikenangkan semula, ia merupakan satu kenangan dan pengalaman yang sangat 'sweet' untuk diingati. 

Latihan Kem Tahunan pertama di Universiti Sains Malaysia, merupakan satu debaran. Tanpa tahu apa-apa, tiada 'guide' dari senior mahupun Pegawai Muda, terpaksa berdikari dengan hanya bantuan dari jurulatih dan skuad dari universiti lain. Kenangan dalam pertandingan kawad kaki memang suatu yang tidak dapat dilupakan. Seminggu latihan di UniSZA, kawad dengan bersuara penuh semangat, akhirnya sampai di sana lebih kurang lima minit sebelum pertandingan, baru dikhabarkan pertandingan dijalankan dalam keadaan senyap tanpa suara. Haru juga la mula-mula. Tapi, berbekalkan kata-kata semangat dari Jurulatih, kami sahut cabaran tersebut. Akhirnya kami tidak menyangka dapat merangkul naib johan bagi pertandingan tersebut dan paling tidak disangka dapat mengalahkan universiti yang menghantar pegawai kadet senior untuk pertandingan tersebut. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan ketika itu, dan pertandingan tersebut sebenarnya telah membuka mata pegawai kadet dari universiti lain bahawa pegawai kadet UniSZA bukan calang-calang orangnya. Begitu juga dalam pertandingan-pertandingan lain. Semangat sepasukan itu yang penting untuk menjadikan kami kuat. Juga pengalaman latihan peringkat medan. Pengalaman baru berada di dalam hutan dan berkenalan bersama skuad dari universiti lain juga suatu yang indah untuk diingati.

Bila telah naik ke peringkat intermediate, terasa beban tugas semakin berat. Sungguhpun telah naik ke 1 peringkat yang lebih tinggi dari sebelumnya sehinggakan telah mendapat panggilan 'puan' oleh skuad junior, perasaan ingin menarik diri masih lagi kuat antara kami. Tidak tahu apa sebabnya, tetapi yang pasti kekuatan mental semakin 'down'. Situasi yang sama, kekuatan semangat dan sokongan dari jurulatih sememangnya tidak dinafikan telah menjadi tunjang kekuatan kami satu skuad. Pelbagai kata nasihat, sokongan, dorongan, pujukan dan motivasi disuntik pada kami. Sehinggakan sampai di satu tahap kami semakin berasa 'jatuh cinta' dengan aktiviti dan latihan PALAPES ini. Benar, sesungguhnya kekuatan itu datangnya dari Allah, namun tahap penguasaan kekuatan fizikal dan mental kita, kita sendiri yang mengawalnya. Usaha demi usaha, latihan demi latihan, akhirnya hubungan antara satu pasukan semakin erat dan menimbulkan bibit-bibit rasa 'sayang' antara satu sama lain. Bila dah timbul rasa begitu, lama-kelamaan perasaan ingin 'keluar baris' semakin hilang. Itulah orang kata, aura semangat berpasukan. Alhamdulillah, kami mampu menjalani latihan dengan lebih baik, walaupun kadangkala masih lagi ada keluhan-keluhan kecil terhadap latihan juga hukuman yang dikenakan ke atas kami.

Naik pula ke peringkat senior. Rasa tak percaya pun ada. Betapa membuaknya perasaan ingin 'keluar baris' semasa di peringkat junior dulu, tidak berlaku dan percayalah, pasti ada hikmahnya. Lumrah kehidupan, semakin kita berada di tempat yang tinggi, semakin berat terasa beban di bahu. Tapi alhamdulillah, Allah sentiasa memberi kekuatan untuk terus dalam perjuangan. Walaupun di peringkat senior dilihat seperti tidak melaksanakan apa-apa kerja, dan semua tugas dilakukan oleh pegawai kadet peringkat junior, tetapi sebenarnya penerapan aspek pengurusan dan kepimpinan sangat dititikberatkan dan ia merupkan satu bentuk pembelajaran. Kenangan termanis adalah semasa di Latihan Kem tahunan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. UniSZA buat pertama kalinya berjaya merangkul juara keseluruhan mengalahkan PALAPES Udara IPTA lain yang telah lama bertapak. Terasa keletihan selama tiga tahun, terbayar dan cukup untuk menggambarkan perasaan terima kasih kami kepada para jurulatih yang tidak jemu memberi ilmu dan menyuntik semangat. Pencapaian yang hebat dari anak murid sebenarnya datang dari gurunya. Moga kecemerlangan PALAPES Udara UniSZA akan sentiasa berterusan dan sentiasa menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Setelah tamat menjalani latihan selama tiga tahun dari peringkat junior, intermediate dan senior, pelbagai pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di dalam PALAPES Udara UniSZA merupakan suatu yang sangat berharga dan pastinya tidak mungkin diperoleh oleh orang awam yang lain. Segala kenangan, pengalaman sama-sama di dalam latihan, berpanas sehingga kulit gelap, dikenakan hukuman atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, bergaduh, bergembira, menangis bersama, dan macam-macam lagi pastinya akan menjadi satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan dan pastinya akan menemui kemanisan dalam setiap yang berlaku.

Lebih manis lagi setelah berhempas pulas menabur keringat selama tiga tahun dalam dunia ketenteraan ini, akhirnya kami ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PSSTUDM dalam Istiadat Pentauliahan Di Raja PALAPES IPTA ke-33 pada 23 Ogos 2014. Bukan mudah untuk menerima tauliah. Latihan pentauliahan juga tidak kurang hebatnya. Tiga minggu meredah padang kawad, tanpa mengira bentuk cuaca mahupun waktu. Kawad penyatuan antara PALAPES darat, PALAPES laut dan PALAPES udara dari pelbagai IPTA yang diwakili lebih daripada 1500 orang, memang di akui kesukarannya. Hanya berbekalkan M-16 sebagai teman setia, suara jurulatih & RSM sebagai halwa telinga, memang diakui betul-betul menguji kesabaran dan ketahanann mental serta fizikal bila berada di tengah padang yang luas itu. Tak kurang kerenahnya bila berada di dalam dewan watikah. Setiap saat, pasti akan ada sahaja mereka yang 'terlelap' dek kerana keletihan latihan disiang hari, tapi perlu berjaga-jaga. Sekali terlelap, gula-gula 'cili api' akan disuap dalam mulut.. oppsss! Apapun sewaktu latihan pentauliahan, semua perkara perlu 'perfect' tanpa ada sebarang kesalahan walaupun dilihat kesalahan kecil. Sememangnya pada saat dan ketika itu, semangat dari skuad sendiri sangat-sangat penting untuk menaikkan semangat yang selalu 'down'.

Sungguhpun terlalu banyak peristiwa suka dan duka sepanjang perjalanan hidup di dalam dunia PALAPES Udara ini, namun ianya tidak dapat dituliskan kesemuanya. Cukup sekadar mencambahkan sedikit ingatan memberi semangat pada mereka yang ingin mengaktifkan diri dalam kokurikulum. Jutaan Penghargaan kepada para pegawai dan jurulatih yang sentiasa bekerja keras dalam mendidik kami semua. Terima kasih kepada Ajutan markas, Leftenan Juliana Binti Moloi TUDM dan Leftenan Muda Mohd Nazry bin Moh Alladin TUDM, Juga penghargaan buat para jurulatih, Sjn U Mohd Shahril bin Mohd Salleh, Sjn U Mohd Azli bin Abdullah, Sjn U Musmuriyadi bin Daud dan Sjn U Amer Efandy bin Abu Seman. Tidak lupa juga terima kasih buat para pegawai muda yang sanggup turun ke UniSZA untuk membantu perjalanan latihan di sana. Semoga Allah sentiasa memberkati ilmu yang dipelajari sepanjang berada di dalam PALAPES Udara UniSZA ini, dan mudah-mudahan ilmu tersebut mampu diamalkan dalam kehidupan seharian dan ukhuwah antara skuad akan berkekalan selamanya.

Wallahua'lam.

34 wira yang berjaya ditauliahkan.. ^_^


Hati kita Allah yang Pegang

Assalamualaikum. Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sedikit perkongsian, dari hati ke hati. Mungkin ramai di antara kita yang pernah merasa kecewa, rasa sedih, rasa diri tidak berguna kerana putus cinta bukan? hah, in syaa Allah hari ini saya nak kongsi sedikit tentang itu..

saudara/ saudari,
Apa perasaan kita bila buah atau bunga yang kita tanam, kita jaga sebaiknya, kita sayang, tiba-tiba bila dah ranum, dah mekar, ada orang lain petik, ada haiwan ambil. Pasti kita akan rasa marah, sedih dan kecewa kan? Pasti kita akan merungut mengatakan "kenapalah susah payah aku jaga, orang lain yang dapat manfaatnya?"

Jom kita ambil analogi ini dan samakan dengan perasaan kita. Contohnya, katakanlah ada seorang yang kita suka, lama kelamaan menjadi semakin sayang. Kerana bila kita sedih dia menjadi tempat kita berkongsi kesedihan, bila kita gembira dia juga tempat kita meraikan kegembiraan kita, dia juga yang banyak memberi semangat pada kita. 

Tapi saat kita mula bersemangat, mula berasa tenang dan ceria, tiba-tiba suatu hari dia jatuh hati pada orang lain. Pasti rasa kecewa dan pedih sangat kan? kenapa aku yang susah payah jaga perasaan dia, tapi orang lain yang dapat raih cinta dia?

Tarik nafas, pejam mata, seru dan ingatlah nama Allah.

Beristighfarlah. Mungkin juga kita terlupa sesuatu yang penting. Buah dan bunga yang kita tanam itu, tanahnya milik siapa? Orang yang kita sayang dan jaga perasaannya itu, hatinya siapa yang pegang? Tiada yang lain kecuali ALLAH, sang pemilik segala apa yang ada di langit dan di Bumi.

Sabarlah duhai sahabat. Ingatlah setiap pertemuan dan perkenalan itu semua atas aturan DIA. Kalau ditakdirkan berpisah dan berjauhan juga atas kehendakNya. kita sering dengar 2 sebab mengapa Allah pertemukan kita dengan seseorang iaitu samaada seseorang itu merupakan ujian buat kita mahupun dia itu jodoh kita.

Jadi, ikhlaslah dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak tunjuk pada kita. Ketahuilah, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah yang terbaik yang Allah nak beri pada kita. Mungkin Allah nak kita tahu tidak semua yang kita harapkan akan jadi kenyataan. Mungkin juga Allah nak kita tahu bahawa keindahan dunia hanya sementara dan Dia nak kita tahu bahawa takdir dan ketentuan itu tetap milikNya walaupun impian dan perancangan itu milik kita. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, tp Allah lah sebaik-baik perancang dan pelaksana.

Wahai sahabat, berlapang dadalah. Sesuatu yang ditakdirkan menjadi milik kita akan tetap menjadi milik kita walau sesukar manapun kita berusaha mendapatkannya. Tapi kalau sesuatu itu dah ditetapkan bukan milik kita, sampai bila-bila pun, walau semudah apa pun kita mendapatkannya kita tetap tidak akan mampu memilikinya walau dengan apa cara sekalipun.

Kerana... HATI KITA ALLAH YANG PEGANG.. sama-samalah kita pelihara iman dalam diri.

Wallahua'lam.

Wednesday, February 18, 2015

Ilmu Tanpa Amal, Sia-sia belajar!


Assalamualaikum. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan umtuk menulis dalam blog ni. Harap dapat memberi manfaat pada saya dan yang membaca.

Alhamdulillah, semalam diberi kesempatan ke Bangunan PERKIM di ibu kota Bandaraya Kuala Lumpur. First time tu drive sesorang ke Kuala Lumpur, dengan meredah jam yang teruk waktu pagi, dengan salah masuk jalan, waze tak bergerak, tp syukur alhamdulillah, Allah permudahkan juga untuk kesana. Bukan ada program apa pn. Tapi dah janji akan sampai sana sebelum jam 9 pagi. 

Sampai kat sana, sebelum sempurnakan urusan, Allah bagi peluang saya bersilaturrahim bersama saudara seagama, umur lebih kurang sebaya dan mempunyai latar pendidikan yang hampir sama dengan saya. Alhamdulillah, sambil duduk di ruang menunggu, kami sempat berkongsi cerita, berkongsi perkara ilmiah, dan berkenalan antara satu sama lain.

Nailah, seorang graduan dari Universiti Morocco, Seha, seorang graduan dari Universiti Jordan, Najlaa cek mek kelate graduan USIM, dan saya dari UniSZA. Apa yang saya mampu katakan, saya suka berkenalan dengan mereka. Pelbagai topik sempat kami bincangkan dalam masa yang singkat itu antaranya tentang cara hidup belajar di luar negara, yang mana Morocco merupakan salah satu tempat yang menjadi target saya lepas SPM dulu. Mana tidaknya, Lepas SPM terus ke Morocco dan dalam masa 3 tahun kita akan dapat Diploma & Ijazah! Fuhh, jimat tahun kan? sapa tak nak.. tak macam kat Malaysia, nak dapat Diploma & Ijzah makan masa 6 hingga 7 tahun. Lama ooo.. berjanggut juga nak dapat ijazah (bagi yang laki la.. hee). Seriously, jeles. Umur 20 tahun dah ada degree. Saya? 25 tahun baru dapat maa.. cukup lama. Tapi tak apa lah. Ada hikmahnya kenapa saya tak ke sana.

Habis diploma pula dulu, Jordan menjadi Target untuk saya sambung degree. Punya lah excited nak sambung kat sana, parents tak izin pulak. Bi makna, Allah pun tak izin la kan. Hmm.. dengan rasa penuh terpaksa, terpaksa la saya sambung degree kt UniSZA sebab masa isi UPU, UniSZA pilihan terakhir selepas UM, UIA dan UKM. Memang dah berazam kalau boleh, tak nak dah sambung kt Terengganu. Nak rasa suasana lain, cara belajar tempat lain & dekat dengan rumah. Senang nak balik.. Tapi perancangan Allah yang terbaik.  Walau macam mana pun kita refuse, kalau dah ditakdirkan kita tak boleh lari. So, sambung di UniSZA juga la kita.. Ada hikmahnya kenapa saya masih di situ. Terima Kasih Allah.. =)

Sempat juga semalam kami bincang tentang nahu Bahasa Arab. Ehem, dalam semua yang ada rasanya saya yang paling tak pandai kot. Lupa habis dah.. MasyaAllah, matan Ajrumiyah yang dulu saya hafal pun cuma tinggal sikit je baki dalam ingatan. Sekadar:
..........الكلام هو لفظ المركب المفيد بالوضع وهي ثلاثة أقسام اسم وفعل وحرف
Setakat tu je saya mampu ingat. yang lain berterabur habis.. huhu.. Time ni la rasa menyesal sebab tak amalkan ilmu. Banyak lagi, macam Tasybih, Isti'arah, Feel Mabni Mu'rab dan Mubtada' Khabar. Blurrrr je rasa. Tp still ingat juga sikit-sikit. Tak ada la blank trus. Saya rasa kesal sebab selama 6 tahun belajar, memang Nahu subjek paling tidak disukai, dan paling tak minat. Mungkin Takhassus saya adalah syariah dan fiqh, saya abaikan tatabahasa Bahasa arab. InsyaAllah, saya akan cuba ingat balik matan Ajrumiyah dan Matan Bina' yang penah dihafal dulu, ulangkaji semula tajuk-tajuk nahu yang pasti satu hari nanti ada manfaatnya pada saya & pelajar-pelajar saya untuk baca dan faham kitab arab dan al-quran.

Orang kata bila kita kawan dengan orang yang jual minyak wangi, kita akan terpalit baunya. Macam tu juga dalam berkawan. kalau kita kawan dengan orang yang positif, pasti kita juga akan sentiasa positif. Selesai urusan, masing-masing saling berpesan dan bagi motivasi serta kata-kata semangat kepada yang lain. Suka sangat-sangat keadaan macam ni. Walau perkenalan yang singkat, tapi saya kira sangat-sangat bermanfaat. Doakan kami mudah-mudahan semangat dakwah kami tak luntur dan sentiasa kuat untuk tegakkan Islam di muka bumi ini kerana kita dijadikan oleh Allah sebagai Khalifah. jadi, amalkan segala ilmu yang pernah dipelajari, terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama Islam dan ilmu ukhrawi supaya ilmu tu tak sia-sia dan tak berkarat dan reput dalam otak kita yang akhirnya terkubur macam tu je. Allahu Musta'an.


Tuesday, February 17, 2015

Nota Cinta Buat Bakal Imamku


Bismillahirrahmanirrahim...

Wahai bakal imamku..
jika aku mampu untuk lukiskan takdir dan perasaan
pasti ianya penuh dengan pengharapan..

wahai orang yang bakal ku kasihi..
aku tidak mendambakan ketampananmu,
bukan juga aku mengharapkan smartnya pakaianmu
apatah lagi mencari kekayaanmu
kerna aku tahu, semua itu bukan jaminan kebahagiaan

wahai bakal Raja di hatiku
aku sangat berharap
kau yang bakal hadir dalam hidupku nanti
seorang yang patuh dan taat pada Pencipta,
taat pada kedua ibu bapa.
menjaga adab dan tingkah laku
bukan sekadar biasa-biasa, 
namun taat yang penuh cinta

aku tahu, aku bukanlah wanita sempurna
begitu juga aku tidaklah mencari pasangan yang sangat sempurna
cukuplah bagikau, 
kau yang taat pada perintahNya dan rasulNya..
dan Sentiasa menjaga agamaNya.

wahai bakal suamiku,
bukan syarat kesempurnaan yang aku mahukan
cukup sekadar kau dan aku saling menyempurnakan..
namun, yakin..
keredhaan sebagai jaminan kebahagiaan,

::Luahanhatiikhlasbuatbakalimamku::

Tuesday, February 18, 2014

Perasaan Anugerah dari Allah


Assalamualaikum wbt.. moga kita sentiasa dalam lindunganNya.

Macam mana perasaan anda harini? baik? sedih? gembira? rindu? kecewa? atau perasaan bercampur baur sampai tak tahu apa perasaan kita.. By the way, nak bagi tahu perasaan ni satu yang unik tau. Ye la, kejap kita rasa happy, sometime kita rasa sedih sangat. Kadang-kadang tiba-tiba je rasa rindu. Tak ke unik tu. huhu

Apapun perasaan kita, yang penting jaga hati sebaiknya. Kalau gembira, jangan terlalu gembira sangat. Kalau sedih, ingatlah Allah.. mesti tenang nanti. Kalau rindu, pastikan tak melebihi rindu kita pada Allah dan Rasulullah. Senang je kan? Cakap memang senang, tapi nak laksanakan cukup payah? Is it right? heee

Ada orang tanya, macam mana dengan perasaan cinta? ops! saya pun tak tahu nak jawab. Sebab perasaan kan satu yang subjektif. Jawapan pada setiap orang pasti berbeza. Bukan lah maksudnya saya tak pernah bercinta.. eh! kejap-kejap.. fida pernah bercinta ke??? haha. Jawapannya mesti lah pernah. Cinta pada Allah, pada Rasulullah, Mak, abah, keluarga dan kawan2. Cinta jugak kan.

Saya tahu. Manusia ni cenderung dan ada fitrah untuk sukakan orang yang berlainan jantina. Kalau tak 'ber'cinta pun, mesti kita ada rasa 'admire' dengan seseorang. Biarlah rasa macam bertepuk sebelah tangan pun. Dah, rasa cinta kan subjektif. Tapi tak payah la nak bercinta-cinta ala monyet tu. Berfikir la secara rasional. Banyak keburukan dari baiknya. Belum tentu si dia tu jodoh kita kan. Yakin pada Allah, insyaAllah bila sampai masanya nanti, ada la jodoh kita. 

Bila tengok kawan-kawan 'date', bukan cemburu.. tapi rasa tak suka, menyampah, tak boleh terima, rasa tak selesa tengok keadaan macam tu. Sekali lagi nak ingatkan.. bukan sebab cemburu taw..huhu. mungkin perasaan dan minda dah set, 'no couple'. Sebab tu secara perlahan-lahan, perasaan ini tak boleh terima keadaan macam tu. Setiap orang memang ada persepsi yang berbeza. Tapi saya rasa macm tu la. Bukan nak kata bajet bagus ke apa. Tapi tu la yang saya kata. Perasaan tu anugerah dari Allah.

Jom sama-sama berdoa Moga Allah sentiasa pelihara hati dan perasaan kita supaya sentiasa diberi petunjuk ke arah kebaikan. "Ya muqallibal qulub, thabbit qalbi 'ala dinik wa 'ala to'atik".. Amin.

Tuesday, February 11, 2014

Ayuh, kembali ke sekolah!!!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.. mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam Rahmat Allah.

Tetiba rasa rindu pula pada zaman sekolah. Maklum lah, dah 6 tahun tinggalkan zaman tu. Pengalaman belajar kat sekolah memang pengalaman yang susah nak lupakan. Kalau zaman sekolah rendah dulu, sibuk berlari berkejaran kesana sini, main permainan yang kononya famous pada zaman tu, macam batu seremban, rebut tiang, main tingting, rondas, lompat getah dan macam-macam lagi. Seronoknya rasa. time tu, budak-budak lagi. Rasa malu tu belum ada. Biasa la, laki perempuan main kejar-kejar la bagai. haha.. zaman tak matang.

Masuk pulak sekolah menengah. Yang ni kononnya dah matang sikit la. Padahal masuk form 1 still rasa macm budak-budak lagi. Tapi zaman sekolah menengah la paling seronok. Banyak tarbiyah saya dapat dari sana. sekolah agama kan. Peraturan memang ketat. Dulu memang tak suka peraturan, tapi sebenarnya banyak hikmah disebalik disiplin tu. Time sekolah menengah ni, ramai kawan-kawan dah gatal nak ber'couple'. Nasib baik aku tak terjebak. Kononnya nak fokus belajar. Tapi betul. Saya cabar diri sendiri, "no couple" sampai habis sekolah. Ait??? dah tu habis SPM aku couple ke? haha. memang tak lah. ustaz ustazah ajar, couple tu haram kan. buat apa nak buat semua tu.

Masa zaman sekolah menengah juga la aku suka ponteng kelas. Aku pengawas dulu. Tanggungjawab yang aku dapat, aku pengawas tingkatan 4, bagi usrah pada pelajar tingkatan 4 dan penolong ketua pengawas kantin. Yang beratnya, jadi pengawas kantin tu la. Budak form 1 & 2 rehat, aku pun dah kena keluar jaga disiplin mereka. Memang berat sebab terpaksa tinggal & ponteng kelas. Kononnya pengawas yang sangat berdedikasi, tapi kadang-kadang aku ni jahat juga. Ponteng kelas, konon pergi bertugas kat kantin, tapi aku pergi lepak kat bilik kesihatan yang ada katil. Sebab aku cukup rapat & kautim dengan guru kesihatan. Dah jumpa katil, paham-paham je la. Tidur. hehe. kebanyakannya aku akan ponteng kelas sejarah (sebab cikgunya sangat garang dan suka attack pengawas dengan soalan-soalan sejarah yang aku tak tahu), dan kelas prinsip akaun (sebab aku ak minat subjek tu). tapi bila keluar result, sungguh tak sangka aku boleh success dalam subjek-subjek tu.. alhamdulillah.. =)

Semua tu kenangan yang susah nak lupa. Kenakalan, Kejahatan, kerajinan, dan macam-macam lagi ragam memang sampai sekarang aku ingat. Tapi sungguh, aku banyak belajar dari sekolah menengah. Ilmu agama, tarbiyyah, cara pergaulan dan tutup aurat, semua bermula dari sana. Alhamdulillah.

Baru-baru ni, kami ada buat majlis penutup latihan PALAPES. dan tema yang dipilih, 'Back To School'.. apa lagi, berbaju sekolah la malam tu. sedikit sebanyak, mengingatkan balik zaman sekolah tu, dan aku pada malam tu, memang pakai baju sekolah macam aku sekolah dulu. Baju dan tudung putih beserta kain hijau. Lama tak pakai. Kalau boleh kembali zaman sekolah, memang nakkkkk.. Always miss that moments. ~_<

Budak-budak sekolah agama..

Back to school mood..

Monday, February 10, 2014

Merantau ke Rantau Panjang.


Assalamualaikum W.B.T

Untuk entri kali ini, just nak 'throw back' memory iaitu time merantau ke Rantau Panjang & Wakaf Che Yeh Kelantan. Bukan nak kata aku ni suka shopping sakan, tapi saja nak cerita.. hehe.

Sebelum pergi tu xde planning apa pun. Just bual-bual kosong, kata nak pergi berjalan. Skuad laki PALAPES la yang ajak. kononnya nak 'release tension' lepas latihan. Deal2, 5 buah kereta pergi. 4 kereta lelaki, 1 kereta perempuan. Aku ingat dekat je, jauh juga rupanya. Kat sempadan Thailand. Memang terpaksa jadi super woman la time tu. Lelaki bawa kereta tak ingat dunia, macam ribut. Jadi, berani x berani, aku terpaksa bawak kereta macam polis kejar penjenayah.. follow je..huhu

Pengalaman.. Bukan senang nak pergi berjalan jauh-jauh macam tu. Apapun, memang seronok. biasa la. perempuan kalau di bawa pergi tempat macam tu, shopping sakan la. Tapi aku xde la sampai sakan tu. Dapat baju 2 3 helai, cukup la. hehe.. beli banyak-banyak pun confirm kena perli je dgn skuad laki nanti, selain habis duit. haha

Rambang mata betul bila berjalan kat sana.. barang yang dijual jauh lebih murah dari kat tempat lain. kalau ikutkan hati, penuh kereta dengan barang2 shopping. Tp fulus kena kawal. Kaki plak time tu rasa macam nak tercabut je. Punyalah semangat nak 'cuci mata', bukan shopping mana pun. Sampai terduduk aku kat tepi jalan, macam si peminta sedekah pun ada dah.. Punyalah tak larat nak berjalan.. haha. Padan muka.

Apapun kenangan dan pengalaman semua tu. Ustaz pernah pesan dalam kelas. Nak jadi orang yang hebat, pergilah mengembara, berjalan.. Cari ilmu dan pengalaman. Macam Imam Syafie. Sebab tu ada pepatah orang tua-tua: Jauh perjalanan, luas pemandangan.. wallahua'lam.





Gembira bersama =)