JellyPages.com

Wednesday, June 10, 2015

SEKITAR PENGALAMAN BERSAMA PALAPES UDARA UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN



Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.

Sedikit coretan sebagai mengimbau secebis kenangan sepanjang berada dalam pasukan PALAPES Udara UniSZA. Setelah berhempas pulas melayani kerenah latihan ketenteraan yang meletihkan selama tiga tahun, alhamdulillah akhirnya tamat sudah latihan sebagai pegawai kadet dan berjaya ditauliahkan. Pelbagai cabaran, rintangan, halangan dan cemuhan diperoleh sepanjang menjalani latihan. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana telah memberi kekuatan fizikal dan mental kepada saya dan 33 orang skuad yang lain mengharungi segala rintangan selama ini.

Menyorot kepada permulaan tertubuhnya Markas PALAPES Udara UniSZA, selaku batch pertama memang diakui ia bukan suatu yang mudah. Dengan semangat dan motivasi yang tinggi dari pihak markas, yang mana pada mulanya terdiri dari seorang ajutan dan dua orang jurulatih, segala pengurusan markas diuruskan oleh mereka dengan baik. Setinggi penghargaan kepada Ajutan Pertama Markas PALAPES Udara UniSZA, Leftenan Muda Juliana binti Moloi TUDM (Kini Leftenan TUDM), dan dua orang jurulatih yang terbaik dan sangat berdedikasi terhadap tugas mereka iaitu SJN U Mohd Shahril bin Mohd Salleh dan KPL U Mohd Azli bin Abdullah (kini SJN U). Tanpa mereka, pasti PALAPES Udara UniSZA tidak akan mencapai tahap seperti sekarang. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati usaha mereka.

Pada mulanya Markas PALAPES Udara UniSZA diletakkan di bangunan Blok D berhampiran makmal fisioterapi. Segala keperluan dan aktiviti pengurusan dijalankan dengan baik di sana. Sehingga kini Markas telah dipindahkan ke bangunan baru yang lebih kondusif di bangunan baru bersebelahan dengan makmal dietetik. Pelbagai ilmu pengurusan telah diajar dan dipraktikkan di Markas Palapes ini.

Mengimbau kenangan semasa berada di peringkat junior, terlalu banyak perasaan yang sukar digambarkan. Bermula majlis angkat sumpah bagi pengambilan pertama pada 6 OKT 2011, seramai 44 orang telah berjaya melepasi segala ujian dan temuduga yang dijalankan. Maka latihan demi latihan dijalankan. Latihan Physical Training (PT), latihan kawad kaki, Kelas IMP, sukan dan sebagainya dilatihkan kepada kami mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan. Tidak dapat dinafikan, selaku batch pertama, latihan yang dikendalikan oleh jurulatih memang suatu yang sangat mencabar dan kadangkala tidak mampu dilaksanakan oleh fizikal. Tapi tiada yang mustahil untuk dilakukan. Sungguhpun fizikal terlalu lemah, kekuatan mental sebenarnya lebih penting. Teringat semasa di peringkat junior. Boleh dikatakan setiap kali latihan pasti akan terdengar keluhan pada diri saya dan skuad yang lain untuk menarik diri atau 'keluar baris' dek kerana 'teruknya' latihan yang dijalankan ke atas kami. Menangis saat latihan, rasa 'fade up' semua tu memang diakui berlaku. Mungkin ketika itu kami mengalami sedikit kejutan budaya apabila selama ini berada dalam keselesaan sebagai orang awam, tiba-tiba masuk ke dunia ketenteraan yang mana umum mengetahui latihan ketenteraan ini suatu yang agak 'tough' dan ganas. Tetapi keluhan hanya tinggal keluhan sahaja. Semangat dan sokongan yang kuat dari pihak jurulatih sangat tinggi disamping semangat dari rakan sepasukan, terpaksa gagahkan diri untuk meneruskan perjuangan. Latihan demi latihan dijalankan, daripada kosong, tak tahu apa-apa mengenai dunia ketenteraan sehingga boleh memahami serba sedikit ilmu mengenainya, akhirnya skuad kami hanya berbaki 34 orang sahaja. Jatuh bangun kami, gembira, menangis, marah, rasa 'fade up' dan sebagainya sebagai batch pertama menang bukan suatu yang mudah untuk dilalui. Tetapi bila dikenangkan semula, ia merupakan satu kenangan dan pengalaman yang sangat 'sweet' untuk diingati. 

Latihan Kem Tahunan pertama di Universiti Sains Malaysia, merupakan satu debaran. Tanpa tahu apa-apa, tiada 'guide' dari senior mahupun Pegawai Muda, terpaksa berdikari dengan hanya bantuan dari jurulatih dan skuad dari universiti lain. Kenangan dalam pertandingan kawad kaki memang suatu yang tidak dapat dilupakan. Seminggu latihan di UniSZA, kawad dengan bersuara penuh semangat, akhirnya sampai di sana lebih kurang lima minit sebelum pertandingan, baru dikhabarkan pertandingan dijalankan dalam keadaan senyap tanpa suara. Haru juga la mula-mula. Tapi, berbekalkan kata-kata semangat dari Jurulatih, kami sahut cabaran tersebut. Akhirnya kami tidak menyangka dapat merangkul naib johan bagi pertandingan tersebut dan paling tidak disangka dapat mengalahkan universiti yang menghantar pegawai kadet senior untuk pertandingan tersebut. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan ketika itu, dan pertandingan tersebut sebenarnya telah membuka mata pegawai kadet dari universiti lain bahawa pegawai kadet UniSZA bukan calang-calang orangnya. Begitu juga dalam pertandingan-pertandingan lain. Semangat sepasukan itu yang penting untuk menjadikan kami kuat. Juga pengalaman latihan peringkat medan. Pengalaman baru berada di dalam hutan dan berkenalan bersama skuad dari universiti lain juga suatu yang indah untuk diingati.

Bila telah naik ke peringkat intermediate, terasa beban tugas semakin berat. Sungguhpun telah naik ke 1 peringkat yang lebih tinggi dari sebelumnya sehinggakan telah mendapat panggilan 'puan' oleh skuad junior, perasaan ingin menarik diri masih lagi kuat antara kami. Tidak tahu apa sebabnya, tetapi yang pasti kekuatan mental semakin 'down'. Situasi yang sama, kekuatan semangat dan sokongan dari jurulatih sememangnya tidak dinafikan telah menjadi tunjang kekuatan kami satu skuad. Pelbagai kata nasihat, sokongan, dorongan, pujukan dan motivasi disuntik pada kami. Sehinggakan sampai di satu tahap kami semakin berasa 'jatuh cinta' dengan aktiviti dan latihan PALAPES ini. Benar, sesungguhnya kekuatan itu datangnya dari Allah, namun tahap penguasaan kekuatan fizikal dan mental kita, kita sendiri yang mengawalnya. Usaha demi usaha, latihan demi latihan, akhirnya hubungan antara satu pasukan semakin erat dan menimbulkan bibit-bibit rasa 'sayang' antara satu sama lain. Bila dah timbul rasa begitu, lama-kelamaan perasaan ingin 'keluar baris' semakin hilang. Itulah orang kata, aura semangat berpasukan. Alhamdulillah, kami mampu menjalani latihan dengan lebih baik, walaupun kadangkala masih lagi ada keluhan-keluhan kecil terhadap latihan juga hukuman yang dikenakan ke atas kami.

Naik pula ke peringkat senior. Rasa tak percaya pun ada. Betapa membuaknya perasaan ingin 'keluar baris' semasa di peringkat junior dulu, tidak berlaku dan percayalah, pasti ada hikmahnya. Lumrah kehidupan, semakin kita berada di tempat yang tinggi, semakin berat terasa beban di bahu. Tapi alhamdulillah, Allah sentiasa memberi kekuatan untuk terus dalam perjuangan. Walaupun di peringkat senior dilihat seperti tidak melaksanakan apa-apa kerja, dan semua tugas dilakukan oleh pegawai kadet peringkat junior, tetapi sebenarnya penerapan aspek pengurusan dan kepimpinan sangat dititikberatkan dan ia merupkan satu bentuk pembelajaran. Kenangan termanis adalah semasa di Latihan Kem tahunan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. UniSZA buat pertama kalinya berjaya merangkul juara keseluruhan mengalahkan PALAPES Udara IPTA lain yang telah lama bertapak. Terasa keletihan selama tiga tahun, terbayar dan cukup untuk menggambarkan perasaan terima kasih kami kepada para jurulatih yang tidak jemu memberi ilmu dan menyuntik semangat. Pencapaian yang hebat dari anak murid sebenarnya datang dari gurunya. Moga kecemerlangan PALAPES Udara UniSZA akan sentiasa berterusan dan sentiasa menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Setelah tamat menjalani latihan selama tiga tahun dari peringkat junior, intermediate dan senior, pelbagai pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di dalam PALAPES Udara UniSZA merupakan suatu yang sangat berharga dan pastinya tidak mungkin diperoleh oleh orang awam yang lain. Segala kenangan, pengalaman sama-sama di dalam latihan, berpanas sehingga kulit gelap, dikenakan hukuman atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, bergaduh, bergembira, menangis bersama, dan macam-macam lagi pastinya akan menjadi satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan dan pastinya akan menemui kemanisan dalam setiap yang berlaku.

Lebih manis lagi setelah berhempas pulas menabur keringat selama tiga tahun dalam dunia ketenteraan ini, akhirnya kami ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PSSTUDM dalam Istiadat Pentauliahan Di Raja PALAPES IPTA ke-33 pada 23 Ogos 2014. Bukan mudah untuk menerima tauliah. Latihan pentauliahan juga tidak kurang hebatnya. Tiga minggu meredah padang kawad, tanpa mengira bentuk cuaca mahupun waktu. Kawad penyatuan antara PALAPES darat, PALAPES laut dan PALAPES udara dari pelbagai IPTA yang diwakili lebih daripada 1500 orang, memang di akui kesukarannya. Hanya berbekalkan M-16 sebagai teman setia, suara jurulatih & RSM sebagai halwa telinga, memang diakui betul-betul menguji kesabaran dan ketahanann mental serta fizikal bila berada di tengah padang yang luas itu. Tak kurang kerenahnya bila berada di dalam dewan watikah. Setiap saat, pasti akan ada sahaja mereka yang 'terlelap' dek kerana keletihan latihan disiang hari, tapi perlu berjaga-jaga. Sekali terlelap, gula-gula 'cili api' akan disuap dalam mulut.. oppsss! Apapun sewaktu latihan pentauliahan, semua perkara perlu 'perfect' tanpa ada sebarang kesalahan walaupun dilihat kesalahan kecil. Sememangnya pada saat dan ketika itu, semangat dari skuad sendiri sangat-sangat penting untuk menaikkan semangat yang selalu 'down'.

Sungguhpun terlalu banyak peristiwa suka dan duka sepanjang perjalanan hidup di dalam dunia PALAPES Udara ini, namun ianya tidak dapat dituliskan kesemuanya. Cukup sekadar mencambahkan sedikit ingatan memberi semangat pada mereka yang ingin mengaktifkan diri dalam kokurikulum. Jutaan Penghargaan kepada para pegawai dan jurulatih yang sentiasa bekerja keras dalam mendidik kami semua. Terima kasih kepada Ajutan markas, Leftenan Juliana Binti Moloi TUDM dan Leftenan Muda Mohd Nazry bin Moh Alladin TUDM, Juga penghargaan buat para jurulatih, Sjn U Mohd Shahril bin Mohd Salleh, Sjn U Mohd Azli bin Abdullah, Sjn U Musmuriyadi bin Daud dan Sjn U Amer Efandy bin Abu Seman. Tidak lupa juga terima kasih buat para pegawai muda yang sanggup turun ke UniSZA untuk membantu perjalanan latihan di sana. Semoga Allah sentiasa memberkati ilmu yang dipelajari sepanjang berada di dalam PALAPES Udara UniSZA ini, dan mudah-mudahan ilmu tersebut mampu diamalkan dalam kehidupan seharian dan ukhuwah antara skuad akan berkekalan selamanya.

Wallahua'lam.

34 wira yang berjaya ditauliahkan.. ^_^


1 comment:

  1. assalamualaikum puan..boleh saya tahu sedikit sebanyak maklumat berkenaan palapes udara ni x

    ReplyDelete