JellyPages.com

Wednesday, June 10, 2015

Hati kita Allah yang Pegang

Assalamualaikum. Dengan nama Allah yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sedikit perkongsian, dari hati ke hati. Mungkin ramai di antara kita yang pernah merasa kecewa, rasa sedih, rasa diri tidak berguna kerana putus cinta bukan? hah, in syaa Allah hari ini saya nak kongsi sedikit tentang itu..

saudara/ saudari,
Apa perasaan kita bila buah atau bunga yang kita tanam, kita jaga sebaiknya, kita sayang, tiba-tiba bila dah ranum, dah mekar, ada orang lain petik, ada haiwan ambil. Pasti kita akan rasa marah, sedih dan kecewa kan? Pasti kita akan merungut mengatakan "kenapalah susah payah aku jaga, orang lain yang dapat manfaatnya?"

Jom kita ambil analogi ini dan samakan dengan perasaan kita. Contohnya, katakanlah ada seorang yang kita suka, lama kelamaan menjadi semakin sayang. Kerana bila kita sedih dia menjadi tempat kita berkongsi kesedihan, bila kita gembira dia juga tempat kita meraikan kegembiraan kita, dia juga yang banyak memberi semangat pada kita. 

Tapi saat kita mula bersemangat, mula berasa tenang dan ceria, tiba-tiba suatu hari dia jatuh hati pada orang lain. Pasti rasa kecewa dan pedih sangat kan? kenapa aku yang susah payah jaga perasaan dia, tapi orang lain yang dapat raih cinta dia?

Tarik nafas, pejam mata, seru dan ingatlah nama Allah.

Beristighfarlah. Mungkin juga kita terlupa sesuatu yang penting. Buah dan bunga yang kita tanam itu, tanahnya milik siapa? Orang yang kita sayang dan jaga perasaannya itu, hatinya siapa yang pegang? Tiada yang lain kecuali ALLAH, sang pemilik segala apa yang ada di langit dan di Bumi.

Sabarlah duhai sahabat. Ingatlah setiap pertemuan dan perkenalan itu semua atas aturan DIA. Kalau ditakdirkan berpisah dan berjauhan juga atas kehendakNya. kita sering dengar 2 sebab mengapa Allah pertemukan kita dengan seseorang iaitu samaada seseorang itu merupakan ujian buat kita mahupun dia itu jodoh kita.

Jadi, ikhlaslah dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak tunjuk pada kita. Ketahuilah, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah yang terbaik yang Allah nak beri pada kita. Mungkin Allah nak kita tahu tidak semua yang kita harapkan akan jadi kenyataan. Mungkin juga Allah nak kita tahu bahawa keindahan dunia hanya sementara dan Dia nak kita tahu bahawa takdir dan ketentuan itu tetap milikNya walaupun impian dan perancangan itu milik kita. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, tp Allah lah sebaik-baik perancang dan pelaksana.

Wahai sahabat, berlapang dadalah. Sesuatu yang ditakdirkan menjadi milik kita akan tetap menjadi milik kita walau sesukar manapun kita berusaha mendapatkannya. Tapi kalau sesuatu itu dah ditetapkan bukan milik kita, sampai bila-bila pun, walau semudah apa pun kita mendapatkannya kita tetap tidak akan mampu memilikinya walau dengan apa cara sekalipun.

Kerana... HATI KITA ALLAH YANG PEGANG.. sama-samalah kita pelihara iman dalam diri.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment